22 Apr 2014

Dr. Afifi Al-Akiti : Anak Melayu Malaysia Pertama Menjadi Felo dan Pensyarah Di Universiti Oxford


Dr. Afifi Al- Akiti, berusia 34 tahun dan berasal dari Perak Darul Ridzuan. Beliau merupakan anak Melayu Malaysia pertama yang berjaya menjadi Felo dan Pensyarah di Universiti Oxford. Beliau juga mampu bertutur menggunakan 7 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa German, Bahasa Peranchis dan Bahasa Latin dan Yunani. Moga Allah SWT memanjangkan usia beliau untuk terus berbakti. Malaysia berbangga dengan pencapaian mu dan semoga negara akan melahirkan lebih ramai lagi insan yang hebat.

21 Apr 2014

MERS-COV: BERHATI-HATI APABILA KE TIMUR TENGAH

Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesan sebanyak tujuh lagi kes Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) di sini, termasuk dua orang yang meninggal dunia akibat penyakit itu.

Akhbar, Saudi Gazette yang memetik jurucakap kementerian itu, Dr. Khalid al-Marghalani melaporkan, kementerian berkenaan menjangkakan penyelidik antarabangsa akan melawat negara ini sebelum akhir bulan ini untuk mengadakan rundingan berkenaan kes jangkitan yang semakin me­ningkat.

Kementerian Kesihatan mencatatkan sejumlah 76 kematian daripada 231 kes MERS-CoV di Arab Saudi sejak virus itu dikesan pada 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu menjelaskan bahawa mereka bekerjasama dengan pelbagai badan bagi mendapatkan maklumat tentang jangkitan virus itu dan langkah untuk mengubati MERS-CoV.

Sementara itu, kerajaan Filipina mengumumkan langkah pencegahan terhadap jangkitan penyakit berbahaya itu dipertingkatkan memandangkan jumlah rakyatnya yang ramai bekerja di Asia Barat dan berpotensi sebagai pembawa penyakit.

"Ini penting untuk ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat memahami dan mengetahui tentang jangkitan penyakit MERS-CoV," kata Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona.

Seorang jururawat warga Filipina yang dikesan positif MERS-CoV di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke negara itu minggu lalu, menurut Jabatan Kesihatan.

Jururawat itu kemudian dikuarantin bersama ahli keluarganya yang menjemputnya di lapangan terbang Manila sebagai prosedur pencegahan, namun mereka disahkan bebas daripada virus itu.

Pihak berkuasa kesihatan meneruskan usaha mengesan 418 penumpang pesawat Etihad Airways, termasuk 45 orang asing bagi menjalankan ujian.

Sehingga kini, seramai 119 penumpang telah dihubungi.

20 Apr 2014

MH 192 BERPATAH BALIK DAN SELAMAT MENDARAT DI KLIA


Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke KLIA awal pagi ini kerana satu daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanannya pecah semasa berlepas.
 
Pengurus Perhubungan Media MAS, Khairunnisak Dzun Nurin berkata, juruterbang telah dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur bahawa serpihan tayar ditemui di landasan dan dengan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi (OCC) MAS pada pukul 10.25 malam.

"Oleh kerana keselamatan adalah amat penting bagi Malaysia Airlines, pesawat itu telah diarahkan berpatah balik ke KLIA.
Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) digerakkan sebaik sahaja juruterbang diarahkan berpatah balik ke KLIA oleh OCC," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kesemua penumpang akan ditempatkan di hotel-hotel berhampiran dan penerbangan MH192 dijadualkan semula berlepas dari KLIA pada pukul 3.30 petang ini dan dijadualkan tiba di Bangalore pada pukul 5 petang hari yang sama.

Beliau berkata, kesemua 159 penumpang dan tujuh anak kapal telah keluar dari pesawat itu.
  
Pesawat itu diterbangkan oleh Kapten Nor Adam Azmi bersama dengan pembantu juruterbang Prakash Kumar.

PENUMPANG PUJI KETENANGAN JURUTERBANG


Para penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH192 yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, memuji sikap tenang juruterbang pesawat itu dalam situasi kecemasan selama empat jam berlegar-legar di udara. 
Pesawat MH192 yang berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam semalam sepatutnya mendarat di Bangalore, India pukul 11.39 hari yang sama melakukan pusingan balik ekoran masalah dikesan pada roda kanan peralatan pendaratannya.

Menurut penumpang yang ditemui, juruterbang pesawat MH192, Kapten Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang, Prakash Kumar J, sentiasa memberikan maklumat terkini setiap 20 minit sepanjang mereka berada di ruang angkasa Malaysia sebelum mendarat.

Malah, mereka turut memuji cara juruterbang itu mendaratkan pesawat Boeing B737-800 itu dengan selamat walaupun terdapat kerosakan pada roda peralatan pendaratan pesawat itu. Pesawat dengan 159 penumpang dan tujuh anak kapal itu melakukan pendaratan kecemasan sekembalinya ke KLIA pada pukul 1.56 pagi tadi dengan selamat.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut bergegas ke KLIA untuk berjumpa sendiri dengan semua penumpang dan anak-anak kapal. Setibanya beliau di KLIA pada pukul 3.15 pagi, beliau diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

         

SIASAT KEMUNGKINAN BERLAKU SABOTAJ

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta pihak polis menyiasat kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap Malaysia Airlines (MAS) berikutan pelbagai kejadian yang menimpa syarikat penerbangan itu kebelakangan ini.


Tunku Mahkota Johor Sedia Melepaskan Jawatan Presiden PBNJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ekoran pelbagai kenyataan berbaur ugutan oleh penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang enggan menonton perlawanan dipercayai ada kaitan dengan isu-isu terkini membabitkan pasukan tersebut.
 
"Kepada anda yang begitu mudah sangat mengugut untuk mengosongkan stadium, apa yang anda katakan telah menunjukkan kepada saya bahawa anda jelas kurang keyakinan dengan pentadbiran saya selaku Presiden PBNJ.

"Maka dengan itu, saya tidak teragak-agak untuk mengundur diri dan memberi laluan kepada mana-mana individu yang anda fikirkan layak," katanya dalam satu kenyataan yang diposkan di dalam laman sosial, Facebook rasmi pasukan JDT dan JDT II, semalam.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail turut menyeru penyokong supaya bersyukur dengan skuad bola sepak yang telah dibentuk sekarang termasuk barisan pemain, jurulatih dan penaja pasukan yang membuatkan mereka mampu bersaing.

"Perlu juga dilihat dari sudut yang positif dan usah hanya memandang kepada yang negatif. Lakaran tiga kemenangan berturut-turut telah memberi nafas baharu untuk kita terus bersaing.

"Kita juga harus menjadi contoh sebagai sebuah persatuan bola sepak yang profesional di Malaysia khusus­nya," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tunku Ismail berkata, keputusan menukar Baihakki Khaizan dan Pablo Aimar merupakan cadangan beliau dan Cesar Ferrando Jimenez.
Jimenez semasa masih bersama JDT mencadangkan pasukan memerlukan pemain yang mempunyai fizikal lebih besar dan kuat serta berpengalaman luas di peringkat antarabangsa supaya dapat bersaing dengan penyerang import pihak lawan.

Menurutnya, Baihakki merupakan pemain pertahanan yang bagus, namun untuk bersaing dengan penyerang import lawan JDT memerlukan pemain yang berpengalaman luas, manakala Aimar masih belum pulih sepenuhnya.

"Disebabkan keadaan Aimar itu, dia tidak dapat memberikan persembahan 100 peratus di atas padang dan selepas beraksi dalam dua perlawanan, kita terpaksa rehatkannya untuk enam perlawanan berikutnya. 

"Dengan jumlah pelaburan yang tinggi, kita tidak bernasib baik pada masa ini apabila hanya mampu menggunakan seorang pemain import antarabangsa serta seorang import ASEAN dan amat merugikan pasukan," katanya. 

Tunku Ismail turut mengulas tentang percaturan PBNJ yang sering menukar ganti pemain termasuk pelantikan Bojan Hodak menyertai skuad Harimau Selatan.

"Pihak pengurusan harus menghormati permintaan pihak jurulatih sebagai contoh, jika jurulatih perlukan penyerang yang baharu, kita harus berusaha mendapatkan sama ada pemain pertahanan, tengah atau penyerang. 

"Bojan pula dilantik berdasarkan rekod pencapaiannya yang pernah memenangi empat kejuaraan serta berpengalaman luas dalam Liga Malaysia di samping amat mengenali kekuatan pemain dan pasukan tempatan," katanya.

Tegasnya, Jimenez pula masih bersama PBNJ selaku Pengarah Taktikal dan akan terus membantu Hodak selain akan terus membimbing pemain muda dalam pasukan JDT II dan Piala Presiden.

18 Apr 2014

Pantau Kesihatan Jemaah Umrah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta agensi-agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah supaya  memantau kesihatan pelanggan mereka  bagi mengelakkan jangkitan sindrom pernafasan "Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus" (MERS-CoV). 

Beliau berkata mereka harus memastikan kesihatan jemaah umrah di bawah jagaan mereka ketika di Mekah dalam keadaan baik dan sekiranya ternampak sebarang tanda yang boleh dikaitkan dengan virus berkenaan supaya segera dirujuk ke klinik atau hospital berhampiran. 

"Mereka (pesakit) harus dirujuk dengan cepat ke hospital, jangan tunggu pulang ke Malaysia. Kerajaan Arab Saudi juga ada menyediakan hospital untuk jemaah," katanya.

Jemaah yang ingin menunaikan umrah juga tidak boleh bersikap sambil lewa serta mengambil mudah terhadap rekod perubatan hanya kerana rekod berkenaan  perlu diisi sebelum menunaikan umrah. 

Ini kerana terdapat jemaah umrah yang takut untuk menerima suntikan menyebabkan mereka menipu dengan mengatakan telah mengambil suntikan, kata Jamil Khir.

"Kalau kesihatan tidak 100 peratus memuaskan pastikan dahulu (keadaan) kesihatan dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk pergi menunaikan umrah," katanya.

Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengesahkan kematian seorang lelaki pada 13 April lepas yang baru pulang daripada mengerjakan umrah adalah akibat dijangkiti sindrom pernafasan MERS-CoV, yang juga merupakan kes pertama dilaporkan di Asean. - Bernama

Sistem e-rumahjohor Mudahkan Permohonan Rumah Rakyat Johor

Bermula esok, permohonan untuk mendapatkan rumah mampu milik di Johor boleh dibuat menerusi aplikasi Sistem Permohonan Rumah Johor atau e-rumahjohor, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata sistem itu yang dibangunkan menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Unit Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (USTICT) bertujuan memudahkan rakyat di negeri itu membuat permohonan.

"Sistem ini beroperasi bagi memudahkan orang awam untuk mendaftar dan memohon rumah mampu milik dan kos rendah yang telah disediakan oleh kerajaan negeri secara dalam talian," katanya dalam sidang media selepas  merasmikan Minggu Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (MISTI Johor 2014) hari ini.

Beliau berkata sistem itu juga boleh dilayari menerusi portal rasmi kerajaan negeri atau terus ke erumah.johor.gov.my

Menurut Mohamed Khaled, kewujudan aplikasi erumahjohor juga akan meningkatkan kecekapan kerajaan negeri dari segi mengutamakan daerah atau kawasan yang lebih memerlukan pembangunan projek perumahan mampu milik.

Aplikasi ini juga akan membantu kerajaan negeri merancang dengan lebih teliti, selain memastikan bekalan rumah yang tidak melebihi permintaan serta tidak membebankan pemaju perumahan yang terlibat,
katanya.

Sehingga ini katanya, kerajaan telah menerima 40,000 permohonan secara manual daripada rakyat Johor untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Kerajaan negeri kata Mohamed Khaled telah mengumumkan pembinaan 28,000 unit Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh lima tahun akan datang bermula 2013.

Sementara itu beliau turut berkata kerajaan negeri sedang mengkaji untuk meningkatkan kemudahan capaian Internet menerusi perluasan perkhidmatan Wi-fi di tempat-tempat tumpuan utama masyarakat.

Untuk peringkat awal katanya, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan Hotspot Wi-fi di 100 lokasi termasuk di Iskandar Malaysia. - Bernama