27 Oct 2014

JDT Mara Akhir, YAB MB Johor Beri 2000 Keping Tiket Percuma Untuk Anak Johor

 

KENYATAAN MEDIA Y.A.B MENTERI BESAR JOHOR

Assalamualaikum dan Salam Muafakat Johor

Alhamdulillah, pasukan bola sepak kebanggaan kita, JDT telah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang merupakan piala tertua dan paling berprestij di Asia. Saya sendiri berpeluang untuk bersama-sama ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada malam Sabtu lalu bagi menjadi saksi kepada detik yang penuh bersejarah itu.

Di sebalik kejayaan ini, mewakili seluruh rakyat Johor, saya ingin mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, kerana telah membawa pasukan bola sepak kita ke satu tahap yang membanggakan. Semangat serta komitmen Tunku telah memberi peluang kepada seluruh rakyat Johor untuk merasai kegembiraan ini. Menjunjung kasih Tunku.

Kejayaan pasukan JDT ini bukan sahaja berjaya menaikkan nama pasukan bola sepak kita, tetapi yang lebih penting ia telah berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negeri ini. Saya dapat melihat, rakyat berbilang kaum tidak kira bangsa dan agama turut sama bergembira dan memberi sokongan kepada pasukan JDT. Inilah Muafakat Johor kerana sejak dari dahulu lagi Johor cukup dikenali di seluruh negara denganrakyatnya yang bersatu padu.

Justeru itu, saya berbesar hati untuk menyediakan sebanyak 2,000 tiket percuma untuk anak Johor bagi bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 1 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Maklumat lanjut mengenai tiket percuma ini boleh didapati menerusi laman Facebook saya di www.facebook.com/mohamedkhalednordin . Semoga dengan sokongan daripada kita semua, ia mampu membakar semangat kepada pasukan kita untuk mengecapi kemenangan pada perlawanan bertemu pasukan Pahang itu. Insya-Allah.

Kepada para penyokong JDT yang akan ke Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu, saya seru kepada anda semua supaya sentiasa menjaga nama baik negeri Johor. Saya yakin, dengan sikap professional dan penuh dengan semangat kesukanan yangditunjukkan oleh penyokong pasukan JDT selama initelah menjadikan kita sebagai penyokong bola sepak terbaik di Malaysia.

Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untukmengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Pahang. Bermainlah dengan semangat kesukanan yang tinggi dan semoga dengan perlawanan akhir ini, ia akan merapatkan lagi hubungan antara negeri Johor dan Pahang.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama berdoa agar pasukan kebanggaan kita iaitu JDT dapat merangkul kejuaran Piala Malaysia tahun ini. Ayuh Johor, luaskan kuasamu.

MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
Tarikh : 27 Oktober 2014

7 Oct 2014

Fenomena BLOOD MOON 8 Oktober 2014

Fenomena Gerhana Bulan Berdarah 8 Oktober 2014 Malaysia

Tarikh : Rabu 8 Oktober 2014
Waktu Cerapan : 5.14 pm hingga 8.34 pm
Lokasi : Kawasan lapang / masjid

SOLAT SUNAT KHUSUF(GERHANA BULAN)

‘Khusuf‘ (الخُسُوفِ) dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya bulan, samada terlindungnya itu hanya sebahagian atau keseluruhannya. Hukum melakukan ‘Solat Gerhana Bulan’ atau dikenali juga dengan nama ‘Solat Sunat Khusuf’ adalah ‘sunat muakkad’ bagi muslimin dan muslimat. 

Ia boleh ditunaikan sama ada secara berjamaah atau bersendirian dan waktunya bermula ketika sedang berlakunya bulan gerhana sehingga selesai gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak adalah solat gerhana.

Galakan mengerjakan ibadah solat sunat gerhana ini berdasarkan satu hadis diriwayatkan Imam Muslim; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu kedua-duanya adalah sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah. Tidaklah terjadi gerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana lahirnya. Apabila kamu telah menyaksikannya maka berdoalah kepada Allah dan solatlah kamu hingga cuaca telah terang kembali.”


Punca Sebenar Gerhana Bulan Berdarah 8 Oktober 2014

Fenomena Bulan Berdarah atau Blood Moon berlaku apabila kedudukan bulan sejajar dengan bumi dan matahari. Fenomena ini terjadi disebabkan pembiasan cahaya yang dikenali sebagai cahaya Umbra oleh atmosfera bumi. Oleh itu, bulan akan kelihatan merah seperti darah.

Fenomena bulan berdarah ini turut dikenali sebagai “Blood Moon” kerana warnanya yang berwarna merah dan dapat dilihat menggunakan mata kasar. Kali terakhir fenomena Blood Moon ini berlaku adalah pada 15 April 2014

Sumber: Fenomena Gerhana Bulan Merah 8 Oktober 2014 Malaysia | melvister.com