25 Mar 2014

Najib Razak membawa usul takziah di Parlimen kepada seluruh keluarga penumpang dan krew MH370


 Photo: Najib Razak membawa usul takziah di Parlimen kepada seluruh keluarga penumpang dan krew MH370

KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak tengah hari ini membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) di Dewan Rakyat bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.



Menurut Perdana Menteri, di bawah usul itu, dewan turut merakamkan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan penumpang serta anak-anak kapal pesawat berkenaan.
 
``Bahawa dewan ini menyatakan ucapan terima kasih tak terhingga kepada semua pihak yang terlibat yang memberikan kerjasama dan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya kepada negara-negara luar yang telah banyak memberikan bantuan dalam operasi tersebut.

``Apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan akan datang ini ialah untuk mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya kita boleh mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di selatan Lautan Hindi,'' katanya.

Menurut Najib, pada masa ini kerajaan menerima pelbagai cadangan dan antaranya untuk berkabung dengan mengibarkan bendera separuh tiang.
 
``Kerajaan berpendapat,kita perlu menemui objek dan serpihan itu terlebih dahulu sebelum kita melakukan perkara tersebut.

``Begitulah juga saya diberitahu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan bersidang pada pukul 6 petang ini untuk menentukan solat jenazah ghaib, bila patut dilakukan,'' katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment