13 Oct 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia Penyelamat Rakyat

Kebanyakan rakyat sememangnya merasa sangat tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang masa kini. Masing-masing mengharapkan agar Kerajaan mengambil langkah serius dalam membantu rakyat berhadapan dengan tekanan tersebut. Belanjawan 2012 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sekurang-kurangnya telah membuatkan rakyat menarik nafas lega kerana Kerajaan memahami dan merasai cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh rakyatnya. 

Rakyat menyahut baik tindakan Kerajaan menerusi Belanjawan 2012 yang akan mewujudkan dan menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia yang akan menjual sebanyak 250 jenis produk berjenama 1Malaysia dengan harga 40% lebih rendah. Rakyat melihat ia sebagai satu kaedah penyelamat khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk berhadapan dengan tekanan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang. 


Pengwujudan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia akan melahirkan satu rangkaian perniagaan berbentuk Kedai Runcit Mini yang baru. Ianya juga akan dapat mengelakkan berlakunya monopoli daripada syarikat-syarikat multinasional yang kebiasaannya memberi tekanan dan sering menuntut untuk menaikkan harga produk masing-masing. Sehubungan itu, rakyat berharap agar Kerajaan dapat mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia di setiap pekan, seluruh parlimen.  

p/s Siapa yang menjadi pengeluar, pembekal, pemborong, peniaga terbesar di Malaysia? Mereka lah yang mampu menentukan harga pasaran barangan. Mereka lah yang menekan pengguna. Semoga Kedai Rakyat 1Malaysia menjadi satu rangkaian perniagaan yang menjadi pusat tumpuan mendapatkan barangan keperluan harian rakyat. 

No comments:

Post a Comment