Mukaddimah
Yang Berhormat Datuk Speaker,
1. Seafdhalnya, saya mendahului sesi penggulungan dewan pada pagi
ini dengan kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah pada
pagi di dalam dewan yang mulia, kita sekali lagi diberikan kekuatan,
kesihatan dan keinginan tinggi untuk bersama-sama membawa perubahan
serta pembaharuan berterusan bagi negeri Johor agar hasilnya nanti dapat
dimanfaatkan oleh anak-anak bangsa di masa hadapan. Justeru saya ingin
mengambil peluang pada kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kerana telah turut serta
mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet Negeri 2014. Sesunguhnya
sesi rundingan perbahasan ini mempunyai nilainya yang tersendiri kerana
kita tidak dipilih untuk berbahas semata-mata tetapi kita memilih untuk
bermuafakat lagi menjunjung amalan demokrasi negara yang dipegang sejak
lebih lima dekad.
2. Sememangnya banyak perkara yang telah dikemukakan semasa sesi
perbahasan ini sama ada yang berbentuk soalan-soalan, cadangan,
sokongan, malah tidak kurang juga ada respon yang berbentuk teguran.
Walau apa pun rupa dan ragam respon yang diberikan, Kerajaan Negeri
akan sentiasa berlapang dada untuk menilai setiap soalan dan memberi
perhatian akan segala cadangan yang sesuai, demi memastikan Pembangunan
dan Pengagihan ekonomi yang saksama lagi berimbang mencapai matlamatnya
serta boleh dimaterialisasikan. InsyaAllah. Inilah dia berkat muafakat
di mana setiap di antara kita pada hari ini sanggup berkompromi dan
berlebih kurang tanpa mengira sebarang perbezaan, hanya semata-mata
menuntut sebuah negeri yang jauh lebih maju, lebih progresif dan lebih
berdaya saing.
3. Suka saya nyatakan disini bahawa sesi persidangan perbahasan
bajet kali ini agak istimewa berbanding yang lepas-lepas. Keistimewaan
yang ada sudah semestinya bukan merujuk pada jumlah bertambahnya
keahlian anggota pihak pembangkang tetapi merujuk pada bertambahnya
nilai pelaburan negeri Johor. Sebagaimana yang telah saya sebutkan dalam
ucapan bajet negeri, buat pertama kalinya nilai pelaburan Johor
sehingga Ogos 2013 mencatatkan penerimaan pelaburan industri tertinggi
negara iaitu RM8.8 bilion. Jumlah ini sebenarnya jauh meninggalkan
jumlah pelaburan negeri seperti Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang yang
masing-masing mencatatkan sejumlah RM5.6 bilion, RM3.49 bilion dan RM1
bilion. Penunjuk ekonomi yang telah dikeluarkan oleh MIDA ini, jelas
memaparkan bahawasanya pelaburan domestik dan luar mempunyai keyakinan
tinggi terhadap keutuhan ekonomi negeri, malah mereka menaruh harapan
yang besar untuk melihat penjanaan kekuatan ekonomi yang berterusan dan
dipertingkatkan lagi.
4. Saya percaya semua ini terhasil kerana Johor bukan sahaja
menawarkan pakej-pakej rangsangan pelaburan yang menarik malah lebih
dari itu Johor talah mengenal pasti sumber kekuatannya baik dari segi
kedudukan yang strategik di laluan perdagangan, kepelbagaian sumber
ekonomi, tenaga manusia terlatih, prasarana lengkap dan keseimbangan
pembangunan wilayah-wilayah Iskandar.
5. Maka atas sebab itulah, dengan adanya empat strategi Muafakat Pembangunan dan Pengagihan dalam Bajet Negeri iaitu Mencorak
Ekonomi Mampan, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat, Memperkasa dan
Merakyatkan Kerajaan dan Melahirkan Modal Insan Berketerampilan
akan berupaya meneruskan kesinambungan rekod kecemerlangan dan memacu
ekonomi negeri ke satu tahap yang lebih tinggi bagi mengharungi cabaran
dan ketidaktentuan ekonomi global pada masa kini.
Pertumbuhan KDNK Negeri
Yang Berhormat Datuk Speaker,
6. YB Skudai ada membangkitkan persoalan kadar pertumbuhan ekonomi
negeri untuk unjuran tahun 2014. Dengan nada yang agak skeptik beliau
secara sembrono mempersoalkan keyakinan Kerajaan terhadap pertumbuhan
ekonomi negeri.
7. Ketahuilah, sesungguhnya Kerajaan Negeri tidak sesekali meragui
kepada pertumbuhan ekonomi negeri bahkan sepertimana lazimnya ekonomi
negeri akan berkembang lebih tinggi berbanding kadar nasional apabila
kadar KDNK nasional diunjurkan positif. Untuk pengetahuan semua, Jabatan
Perangkaan Malaysia baru sahaja mengemaskinikan kadar-kadar KDNK BAGI
NEGERI menggunakan tahun asas 2005 berbanding tahun asas 2000 sebelum
ini.
8. Oleh yang yang demikian, unjuran yang dibentangkan baru-baru
ini menggunakan metodologi perkiraan tertentu hanya mampu diunjurkan
bagi satu tahun kehadapan iaitu 6.1% bagi tahun 2013. Walaubagaimanapun,
bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri membuat anggaran awal secara kasar
mampu mencapai pertumbuhan di antara 5.5% – 6.1% bagi tahun 2014
berdasarkan senario pelaburan yang telah dicapai pada tahun 2013 serta
mengambilkira unjuran di peringkat nasional.
PRESTASI KEWANGAN, HASIL DAN HUTANG
Yang Berhormat Datuk Speaker,
9. Saya mengira, ramai dikalangan ahli dewan yang begitu memberi
perhatian terhadap hasil dan prestasi kewangan negeri sepertimana yang
telah disentuh oleh YB Rengit. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa
kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Johor terus menunjukkan prestasi yang
baik dengan tumpuan kepada pengukuhan kewangan untuk menjamin
kemampanan perkhidmatan dan pembangunan yang dapat diberikan kepada
rakyat. Kekukuhan kedudukan kewangan ini didorong oleh peningkatan usaha
untuk meningkatkan hasil dan kawalan perbelanjaan secara berhemah tanpa
menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan. Hasil yang melebihi
RM1.00 bilion telah mula dicatat pada tahun 2010 dan bermula pada tahun
tersebut, Akaun Hasil Disatukan telah menunjukkan lebihan atau surplus
dan tren ini dijangka akan diulangi sekali lagi pada tahun ini dan tahun
hadapan.
10. Peningkatan ketara adalah hasil daripada punca Hasil Bukan Cukai
yang menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Oleh yang
demikian peningkatan hasil dijana tanpa peningkatan kadar cukai tetapi
lebih kepada peningkatan transaksi perkhidmatan kerajaan yang didorong
oleh kerancakan ekonomi negeri Johor disamping usaha gigih semua pihak
untuk meningkatkan prestasi kutipan.
11. Pada hari pembentangan Bajet Negeri Johor 2014 pada 7 November
2013, saya telah mengumumkan jangkaan kutipan hasil negeri pada tahun
ini ialah RM1.12 billion. Maka pada hari ini saya amat gembira
memaklumkan bahawa matlamat ini telahpun dapat dicapai minggu lalu iaitu
lebih awal daripada jangkaan. Dengan prestasi kutipan hasil yang
memberangsangkan maka baki defisit terkumpul dalam Akaun Hasil Yang
Disatukan sejak tahun 2000 dijangka akan dapat dihapuskan.
Ikuti seterusnya di sini MUAFAKAT JOHOR
No comments:
Post a Comment