JOHOR BAHRU - Dua pemimpin DAP Johor meminta Pengerusi parti negeri Dr
Boo Cheng Hau mengotakan janjinya untuk tidak bertanding pada pemilihan
kepimpinan negeri yang dijadualkan berlangsung bulan depan.Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kow Meng yang
juga Naib Pengerusi DAP Johor, dan bekas Adun Bentayan Gwee Tong Hiang
mahukan DAP Johor dipimpin oleh kepimpinan baru yang lebih berkaliber.
"Kita berharap Dr Boo akan menunaikan janjinya dengan tidak bertanding
pada pemilihan DAP Negeri Johor yang dijadualkan pada 12 Januari depan.
Terdapat pemimpin lain yang lebih berkeupayaan untuk mengisi jawatan
itu," kata Ong pada sidang media hari ini.
Dr Boo yang juga Adun Skudai selama dua penggal, katanya, telah
memegang jawatan Pengerusi DAP Johor itu amat lama selama tiga penggal
dan perlu memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin muda.
Ong menamakan anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan anggota
Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebagai di antara pemimpin muda DAP Johor
yang mampu mengisi tempat Dr Boo sebagai Pengerusi DAP negeri.
Chin Tong yang mendapat undi tertinggi pada pemilihan jawatankuasa
pusat DAP lepas juga merupakan Pengarah Pendidikan Politik parti itu,
manakala Teo pula adalah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
Menurut Ong yang merupakan seorang peguam, beliau juga tidak akan
mempertahankan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP Johor pada
pemilihan bulan depan itu.
Tong Hiang yang mengemukakan saman RM5 Juta terhadap Dr Boo Ogos lepas
pula berkata, DAP Johor memerlukan pemimpin muda yang lebih berkemampuan
dan bersikap neutral untuk memimpinnya.
Beliau yang tidak memegang sebarang jawatan di dalam jawatankuasa parti
negeri, juga tidak bercadang bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan
parti Januari depan.
Yang turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi DAP Cawangan
Taman Nesa P.Kogilavani dan beberapa pemimpin peringkat akar umbi DAP
Johor. - Bernama
No comments:
Post a Comment