KUALA LUMPUR 1 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Penasihat kepada
syarikat minyak negara, Petronas Berhad, berkuat kuasa hari ini.
Menurut salinan surat yang diperoleh Utusan Malaysia, surat
perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir, 88, tersebut telah diserahkan
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu.
Sumber-sumber ketika dihubungi berkata, Dr. Mahathir berasakan beliau kini perlu mengurangkan masa pejabatnya.
''Ini sekali gus bermakna Dr. Mahathir sudah menyumbang tenaga kepada
agensi-agensi kerajaan ini selama 10 tahun, sejurus selepas beliau
melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003," kata sumber
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walaupun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada pengunduran Dr.
Mathathir itu turut meliputi tugasnya sebagai Canselor Universiti
Teknologi Petronas (UTP), penasihat kepada Lembaga Pembangunan Langkawi
(LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TDA).
Satu lagi peranan penasihat yang dipegang oleh Dr. Mahathir ialah
dalam syarikat automotif nasional, Proton Holdings Berhad (kini anak
syarikat milik penuh kumpulan DRB-Hicom).
Dr. Mahathir dianggap sebagai pengasas syarikat Proton dalam usaha
menyediakan kereta mampu dimiliki rakyat dan memajukan industri
automotif di Malaysia.
Keputusan negarawan tersebut berkemungkinan didorong oleh faktor
kesihatan berikutan gangguan kesihatan yang dialaminya baru-baru ini.
Dr. Mahathir dirawat hampir 10 hari bermula 16 November lalu di
Institut Jantung Negara setelah didapati terkena jangkitan paru-paru. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment