8 Sept 2011

Penyerahan Loji Air, Rahmat Kepada Rakyat Johor

Tanggal 31 Ogos memberikan seribu makna kepada rakyat Johor dengan penyerahan kemudahan loji rawatan dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura dengan tamatnya Perjanjian Pembekalan Air yang telah ditandatangi pada tahun 1961, selain daripada menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-54 tahun dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lebih manis lagi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk menghadiri majlis penyerahan tersebut. 

PUB telah menyerahkan Loji Air Gunung Pulai, Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian. Ini bermakna bekalan air bersih Johor akan bertambah sebanyak 681 juta liter yang dikendalikan oleh Syarikat Air Johor (SAJ). 

Rakyat Johor sudah pasti amat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang sangat prihatin dan telah berjaya mengadakan pertemuan serta perbincangan antara Malaysia dan Singapura sehingga tercapainya kata sepakat membolehkan kemudahan tersebut diserahkan secara percuma kepada Johor. Ia menunjukkan sememangnya wujud hubungan yang istimewa antara 2 buah negara. Selama 50 tahun, Johor telah membantu Singapura dalam menyalurkan bekalan air bersih kepada rakyatnya. 


Sehubungan itu, rakyat negeri Johor amat mengharapkan agar Syarikat Air Johor (SAJ) dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik, khususnya kepada penduduk di kawasan Skudai dan Pontian.

No comments:

Post a Comment