9 Feb 2015

Anwar Gagal Dalam Rayuan Kes Liwat Keduanya


Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba bagi mendengar penghakiman kesnya di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya
                         
PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya.

Penghakiman itu diberikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Hakim-hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Dengan keputusan ini, Anwar, 67, boleh hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.

Anwar diwakili sepasukan 15 orang peguam yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat belas peguam yang lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Gobind Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R. Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Khim Choon, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 Nov tahun lepas, Arifin menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel mungkin terjejas sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Bagaimanapun, pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam memutuskan tentang sampel DNA.

Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar.

Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada tahun 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Mahkamah mengarahkan beliau menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun kerana rasuah, setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah pada 4 April, 1999.

Namun selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept, 2004, selepas Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atas beliau atas tuduhan liwat, dengan keputusan majoriti 2-1.

Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti, berkata hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja "terlibat dalam kegiatan homoseksual" dan hakim-hakim lebih cenderung untuk mempercayai bahawa liwat yang didakwa itu memang berlaku.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment