10 Feb 2015

#LIWATII : Anwar Dipenjara 5 Tahun

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menyambung semula prosiding berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1.08 tengah hari ini.

Prosiding itu disambung semula dengan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai sepasukan 15 peguam, membuat penghujahan berikutan keputusan bersalah yang diumumkan mahkamah sebelum itu.

Anwar, 67, gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi Mahkamah Rayuan berikutan sabitan kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. 

Berikutan keputusan itu, Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Kerajaan Malaysia menggesa semua pihak terlibat supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman hari ini yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa.

Seorang jurucakap kerajaan Malaysia berkata: "Hakim-hakim berkenaan membuat keputusan mereka hanya setelah menimbang semua bukti secara berimbang dan objektif."

"Dalam kes ini, semua proses dilaksanakan dengan lengkap dan komprehensif yang memakan masa beberapa tahun. Proses itu kini selesai dan kami menyeru semua pihak terbabit supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman," kata jurucakap itu menerusi kenyataan tiga perenggan di sini, Selasa.

Kenyataan itu sebagai mengulas tentang rayuan akhir Anwar yang diketepikan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, apabila Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang menganggotai panel lima hakim, menyampaikan penghakiman Selasa.

Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih di Bukit Damansara, di sini pada 26 Jun, 2008. Jurucakap kerajaan itu turut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas, dan sebelum ini terdapat banyak keputusan yang membawa hukuman terhadap tokoh kanan kerajaan.

Laporan polis terhadap Anwar pula dibuat seorang individu secara peribadi iaitu oleh pekerja dan pembantu peribadi Anwar, bukan oleh kerajaan, kata jurucakap itu.

"Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, dia berhak membawa kesnya ke mahkamah," kata jurucakap itu.


No comments:

Post a Comment