Bagi memastikan bekalan ikan, udang dan ayam mencukupi sepanjang
sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan Johor mengambil langkah
menghentikan sementara pengeksportan lima jenis ikan, udang besar dan
ayam ke Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed
berkata, langkah itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lepas hingga 28
Februari depan.
"Ikan dilarang eksport ialah jenis yang biasa mendapat permintaan
tinggi seperti kembong, cencaru, selayang, bawal putih dan tenggiri.
"Kita juga mempunyai sebanyak 300 peratus bekalan ayam sejuk beku
selain 302 tan metrik daging bagi memastikan semuanya mencukupi
sepanjang perayaan ini," katanya kepada pemberita selepas Program
Pengimarahan Masjid dan Surau Parlimen Pagoh di Bangunan Seri Pekembar
di sini, hari ini.
Menurut Ismail, bekalan sayuran juga mencukupi dan bekalan cili merah
akan diimport dari India atau Thailand jika ia berkurangan.
Sementara itu, beliau meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia bekerjasama memantau dakwaan segelintir
nelayan yang menjual ikan kepada pihak lain di tengah laut yang
dikhuatiri menjejaskan bekalan ikan ketika musim perayaan.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sudah memberi subsidi dan insentif untuk nelayan," katanya. - Bernama

No comments:
Post a Comment