14 Mar 2013

Imam Besar Masjid Aba'ah, Makkah : Anggota Keselamatan Pertahana Negara Mati Syahid, Pandangan mengenai penggunaan kalimah Allah kalangan bukan Islam dan balasan syurga kerana menyokong parti politik.

KUALA NERANG: Imam Besar Masjid Aba'ah, Makkah, Syeikh Mohammad Sharif Mohammad Imrani al-hafiz berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara mati syahid.
Katanya umat Islam wajib mempertahankan negaranya daripada pencerobohan asing dan mati dalam peperangan kerana ia adalah syahid fisabilillah dan Allah SWT akan memberi syafaat kepada mereka. 

Beliau yang ditanya mengenai pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah berkata: "Saya tidak tahu siapa yang melakukannya (pencerobohan) namun kematian 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia mempertahankan negara adalah syahid."

Sheikh Muhammad Sharif berkata pergaduhan atau peperangan sesama umat Islam di akhir zaman adalah tindakan manusia yang memiliki sifat syaitan dan hendaklah dihindari oleh pengikut sebenar Nabi Muhammad SAW.

Beliau yang turut ditanya penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia, berkata dalam Al-Quran terdapat ayat yang jelas menyatakan HARAM menggunakan nama Allah sebagai nama tuhan oleh bukan Islam.

"Dalam Islam tidak boleh bandingkan nama Allah dalam Bible dan Injil. Orang Bible dan Injil bukan Islam. Macam mana hendak guna nama Allah. Perbuatan ini (guna nama Allah oleh bukan Islam) adalah syirik dan berdosa, tidak boleh buat begini," katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam Malaysia supaya memohon perlindungan Allah SWT dan mengadakan solat hajat agar umat Islam di negara ini terhindar daripada fitnah yang banyak berlaku di akhir zaman.

"Bergaduh sesama umat adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam. Umat Muhammad SAW adalah adik-beradik dan kita patut bersatu. Ini nasihat saya," katanya.

Dalam tazkirahnya pula, Sheikh Muhammad Sharif MENEGASKAN tiada parti politik boleh menjanjikan syurga atau neraka kepada umat Islam dan perbuatan mengkafirkan sesama umat juga ditegah keras oleh Islam.

"Tiada hadis atau ayat dalam al-Quran yang menyatakan menyokong sesuatu pihak atau parti politik boleh masuk syurga. Ini kerja Allah SWT, bukan boleh ditentukan oleh sesiapapun pada zaman ini," katanya.

Sementara itu Syed Sobri berharap penjelasan Imam Besar Masjid Aba'ah itu berlandaskan al-Quran dalam soal kematian anggota keselamatan, penggunaan kalimah Allah dan menyokong pembangkang boleh masuk syurga perlu dipandang serius oleh umat Islam di negara.

"Saya harap umat Islam yang hadir pada malam ini tidak lagi terpengaruh dengan dakwaan songsang pihak tertentu bersabit tiga perkara berkenaan yang membawa kepada syirik," katanya. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment