23 Mar 2014

28 Pemaju Perumahan Disenaraihitam




Kerajaan negeri telah menyenarai hitam sebanyak 28 pemaju kerana gagal membina lebih 30,000 unit rumah kos rendah terutama di kawasan Iskandar Malaysia dalam tempoh ditetapkan. Tanpa mahu mengumumkan syarikat pemaju terlibat, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri turut membekukan permohonan projek pembangunan baharu dibuat pihak berkenaan.


Bagaimanapun, menurutnya, kesemua pemaju terlibat masih boleh melakukan rundingan dengan pihak berkuasa tempatan.

"Mereka boleh berbincang, kalau tak bina langsung kena bayar denda RM40,000 seunit dan kalau mereka memohon untuk membina rumah mampu milik daripada kos rendah, boleh tapi perlu bayar RM7,000 seunit. Pokoknya, tapak itu perlu dibina rumah seperti ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Tanjung Senibong di Permas Jaya di sini hari ini. 

Ia melibatkan pembinaan 1,088 unit rumah dengan 222 unit dengan keluasan 1,000 kaki persegi dibina pada fasa pertama. Beliau berkata, kerajaan negeri perlu bertegas dan tidak sesekali berkompromi dalam perkara tersebut dalam usaha memastikan isu sama tidak berulang di masa hadapan dan menjadi pengajaran kepada pemaju lain. 

Tambahnya, senarai pemaju yang dikenal pasti gagal membina rumah kos rendah dalam tempoh dua tahun selepas pemaju mendapat kebenaran merancang yang disenarai hitam kerajaan negeri akan diumum kelak.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan Lembaga Perumahan Johor dalam usaha menangani masalah kegagalan pemaju mewujudkan rumah kos rendah atau mampu milik di negeri ini.Jelasnya, lembaga tersebut berperanan antara lain mengenal pasti tapak sesuai untuk dibina rumah mampu milik di negeri ini. 

"Enakmennya akan dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Jun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment