27 Mar 2014

MBJB Sedia Khidmat Bas Percuma 'JB Dihatiku' Bermula 1 Mei

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperkenalkan perkhidmatan bas secara percuma bermula 1 Mei ini, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandaraya ini.Langkah itu sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian pengguna perkhidmatan berkenaan.

Datuk Bandar MBJB, Ismail Karim berkata, perkhidmatan bas yang diberi nama JB Dihatiku itu akan beroperasi dari jam 6 petang hingga 11 malam dengan melibatkan laluan sejauh 21.4 kilometer dari pusat bandar ke Terminal Larkin.

Menurutnya, sebagai permulaan, sebanyak enam bas akan digunakan dengan kekerapan 10 minit bagi setiap pusingan.

“Hasil kajian teknikal dijalankan Bahagian Pengangkutan Bandar MBJB mendapati banyak isu berbangkit membabitkan perkhidmatan bas di pusat bandar.

“Antara masalah itu termasuk penumpang terpaksa menunggu lama dalam bas, kekurangan parkir dan kesesakan di Jalan Wong Ah Fook berikutan projek pembukaan Sungai Segget.

“Diharap agar perkhidmatan ini membantu orang ramai dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian berikutan faktor ekonomi, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar,” katanya pada Mesyuarat Penuh Kali Ketiga MBJB, semalam.

Sementara itu, Ismail menzahirkan rasa sedih berhubung kehilangan anak kapal, kru serta penumpang yang menaiki pesawat MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi.

“Iktibar yang dapat diambil daripada insiden ini adalah sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Dalam konteks ini, MBJB juga hendaklah sentiasa siap menghadapi kejadian luar jangka,” katanya.

No comments:

Post a Comment