25 Mar 2014

Najib Razak - Cari Serpihan, Rangka & Objek Berkaitan Pesawat MH370 Sebagai Pengesahan Ia Hilang


PhotoSeri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan tetap memberi keutamaan terhadap usaha mencari serpihan, rangka serta objek-objek berkaitan dengan pesawat MH370 yang disahkan berakhir di Lautan Hindi.Menurut Perdana Menteri, ini bagi membolehkan kerajaan mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di kawasan tersebut.

Katanya, kerajaan juga komited untuk meneruskan operasi mengesan kotak hitam pesawat berkenaan bagi merungkai segala persoalan berhubung tragedi itu.

"Yang akan menjawab segala persoalannya ialah apabila kotak hitam yang mengandungi Flight Data Recorder dan Voice Control Recorder dijumpai. Oleh itu, apa jua teori ketika ini, tidak boleh kita sahkan sehingga kotak hitam ditemui," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi malang yang menimpa pesawat MH370 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Najib, sejak tragedi itu berlaku, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang terselaras dengan semua agensi yang terlibat di samping berpegang kepada prinsip apa sahaja kenyataan yang dibuat, mesti disahkan terlebih dahulu.

"Kita tiada niat untuk halang atau menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada keluarga mangsa ataupun kepada pengetahuan umum. Berkali-kali kita telah menyatakan bahawa insiden atau pun kes ini ialah ‘unprecedented’ (tidak pernah berlaku) dalam sejarah penerbangan.

"Kita juga telah mendapatkan kerjasama yang luar biasa daripada 26 buah negara. Saya sendiri telah menghubungi ramai pemimpin negara luar dan mereka menyatakan kesanggupan untuk memberi kerjasama dari segi maklumat radar, satelit dan aset-aset," ujarnya.






No comments:

Post a Comment