Skim MyHome menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit kepada
pembeli-pembeli rumah dan pemaju-pemaju swasta, untuk meningkatkan
pemilikan dan pembangunan rumah mampu milik di negara ini. MyHome akan
dilaksanakan mulai 1 April 2014.
Ciri-ciri MyHome adalah seperti berikut:
(i) MyHome1 menawarkan harga jualan rumah antara RM80,000 – RM120,000. Golongan sasaran adalah isi rumah yang berpendapatan RM3,000 – RM4,000;
(ii) MyHome 1 Sabah dan Sarawak menawarkan harga jualan rumah antara RM90,000 – RM120,000. Golongan sasaran adalah isi rumah yang berpendapatan RM3,000 – RM4,000;
(iii) MyHome2 menawarkan harga jualan rumah antara RM120,001 – RM200,000. Golongan sasaran adalah isi rumah yang berpendapatan RM4,001 – RM6,000; dan
(iv) MyHome 2 Sabah dan Sarawak menawarkan harga jualan rumah antara RM120,001 – RM250,000. Golongan sasaran adalah isi rumah yang berpendapatan RM4,001 – RM6,000.
Bagi Sabah dan Sarawak, harga rumah MyHome adalah sedikit berbeza memandangkan kos pembinaan yang lebih tinggi di kedua-dua negeri itu. Keluasan minimum rumah MyHome1 adalah 800 kaki persegi dan MyHome2 pula adalah 850 kaki persegi.
Rumah-rumah yang dibina di bawah MyHome juga perlu dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air serta perlu disediakan dengan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat letak kenderaan, dewan, surau dan taman permainan. Ini bagi memastikan pembeli rumah MyHome ini menduduki rumah yang selesa serta lengkap dengan kemudahan-kemudahan sosial.
Pemilihan pemaju tersebut akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pemilihan Projek MyHome di KPKT. Setiap permohonan pemaju akan dipertimbangkan, berdasarkan syarat-syarat kelayakan seperti berikut :
(i) Syarikat pemaju mestilah syarikat yang sah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia.
(ii) Setiap pemaju dihadkan untuk menerima insentif tidak melebihi 1,000 unit dalam satu pemajuan projek.
(iii) Projek diluluskan pada tahun 2014 atau sebelumnya layak memohon di bawah MyHome ini.
(iv) Keutamaan diberikan kepada pemaju perumahan swasta.
(v) Projek-projek MyHome hendaklah dilaksanakan di atas tanah milik swasta dan bukannya di atas tanah milik Kerajaan.
(vi) Pemaju perumahan yang ingin menyertai skim ini mestilah berlesen serta telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Seperti yang kita sedia maklum, tujuan skim ini dilancarkan adalah untuk menggalakkan pembinaan rumah mampu milik oleh pemaju-pemaju swasta. Justeru, bagi membantu pemaju perumahan swasta terutamanya aliran tunai mereka dalam pelaksanaan projek MyHome ini, pembayaran MyHome akan dilaksanakan kepada pemaju dengan cara berikut:
(i) Bayaran insentif RM30,000 daripada harga rumah akan dibayar kepada pemaju secara upfront melalui MyHome ini dan baki harga rumah akan dibiayai sendiri oleh pembeli.
(ii) Pembayaran RM30,000 ini adalah termasuk bayaran deposit sebanyak 10% kepada pembeli apabila Surat Perjanjian Jual Beli ditandatangani. Ini bertujuan untuk membantu pembeli dalam menyediakan deposit pembelian rumah.
(iii) Pemaju perlu memastikan pembeli mendapatkan pembiayaan pada baki harga rumah sahaja selepas ditolak dengan insentif RM30,000.
MyHome ini merupakan manifestasi Kerajaan dan visi YAB Perdana Menteri Najib Razak dalam membantu pembeli untuk memiliki kediaman sendiri, melalui pembelian rumah mampu milik. Oleh itu, KPKT menetapkan beberapa syarat-syarat kepada bakal pembeli rumah MyHome, bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat faedah daripada skim ini.
Antara syarat-syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPKT kepada pembeli adalah seperti berikut:
(i) Pembeli mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
(ii) Pembelian adalah untuk rumah pertama dan permohonan dihadkan satu (1) unit rumah kepada setiap isi rumah.
(iii) Pemohon mestilah mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 - RM 4,000 bagi MyHome1 dan pendapatan isi rumah antara RM4,001 - RM6,000 bagi MyHome 2.
Bagi memastikan pemilikan rumah di bawah skim ini mencapai golongan sasaran, maka perlulah ditetapkan syarat tempoh moratorium kepada pembeli selama 10 tahun. Tempoh moratorium ini dikira mulai Surat Perjanjian Jual Beli ditandatangani.
Ini bermakna, pembeli tidak boleh menjual rumah ini dalam tempoh tersebut. Bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan, syarat moratorium tersebut akan dimasukkan ke dalam surat tawaran kepada pembeli, Surat Perjanjian Jual Beli dan dokumen hakmilik tanah di bawah sekatan kepentingan.
Borang permohonan boleh diperolehi menerusi laman web Jabatan Perumahan Negara di https://ehome.kpkt.gov.my/ atau dengan mendapatkannnya di pejabat Setiausaha Kerajaan negeri yang berkenaan.
Pada tahun ini sahaja, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara. Jika skim ini menerima sambutan, saya tidak menolak kemungkinan peruntukan ini ditambah untuk tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment