Marilah sama-sama berdoa agar virus Mers-CoV tidak tersebar dengan lebih serius
.........................................
Seramai 64 penduduk Kampung Bintang Laut di Batu Pahat menunjukkan
tanda-tanda awal 'Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus'
(MERS-CoV) dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa selama
seminggu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka antara 100 penduduk yang menjalani pemeriksaan di pusat pemeriksaan khas yang dibuka di Kompleks Penghulu Mukim Peserai sejak Isnin lepas.
"Apabila dibuat pemeriksaan, kita dapati mereka mempunyai tanda-tanda seperti batuk, demam dan selesema yang ada kaitan dengan penyakit MERS-CoV ni, jadi kita nasihatkan mereka duduk di rumah.
"Dalam masa tujuh hari ini, sekiranya kita dapati tanda-tanda ini berlarutan kita akan masukkan mereka untuk pemeriksaan lanjut ke Hospital Sultanah Nora Ismail dekat sini," katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau yang sebelum itu mengadakan lawatan ke kampung berkenaan, berkata pusat itu dibuka selepas seorang penduduknya yang meninggal dunia pada 13 April lalu disahkan akibat MERS-CoV, iaitu kes pertama dilapor di rantau ini.
Lelaki berusia 54 tahun itu mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas setelah 10 hari pulang dari tanah suci pada 29 Mac.
Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 10 April dan meninggal dunia tiga hari kemudian.
Menurut Ayub, sejak 13 April lepas juga lima penduduk dimasukkan ke hospital namun empat disahkan negatif MERS-CoV sementara sampel seorang lagi sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk analisis lanjut.
"Jika didapati positif kita akan mengawal aliran keluar masuk Kampung Bintang Laut bagi mengekang penularan," katanya menambah keputusan dijangka diketahui seawal-awalnya esok.
Beliau turut menasihati baki 1,000 penduduk kampung itu menjalani pemeriksaan di pusat itu yang dibuka dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Ayub juga meminta ejen-ejen umrah agar mengingatkan jemaah sama ada yang bakal menunaikan ibadah umrah atau baru pulang, supaya membuat pemeriksaan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat kesihatan berhampiran. - Bernama
No comments:
Post a Comment