Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia melepaskan
jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ekoran
pelbagai kenyataan berbaur ugutan oleh penyokong Johor Darul Ta'zim
(JDT) yang enggan menonton perlawanan dipercayai ada kaitan dengan
isu-isu terkini membabitkan pasukan tersebut.
"Kepada anda yang begitu mudah sangat mengugut untuk mengosongkan
stadium, apa yang anda katakan telah menunjukkan kepada saya bahawa anda
jelas kurang keyakinan dengan pentadbiran saya selaku Presiden PBNJ.
"Maka dengan itu, saya tidak teragak-agak untuk mengundur diri dan
memberi laluan kepada mana-mana individu yang anda fikirkan layak,"
katanya dalam satu kenyataan yang diposkan di dalam laman sosial,
Facebook rasmi pasukan JDT dan JDT II, semalam.
Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail turut menyeru penyokong supaya
bersyukur dengan skuad bola sepak yang telah dibentuk sekarang termasuk
barisan pemain, jurulatih dan penaja pasukan yang membuatkan mereka
mampu bersaing.
"Perlu juga dilihat dari sudut yang positif dan usah hanya memandang
kepada yang negatif. Lakaran tiga kemenangan berturut-turut telah
memberi nafas baharu untuk kita terus bersaing.
"Kita juga harus menjadi contoh sebagai sebuah persatuan bola sepak yang profesional di Malaysia khususnya," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tunku Ismail berkata,
keputusan menukar Baihakki Khaizan dan Pablo Aimar merupakan cadangan
beliau dan Cesar Ferrando Jimenez.
Jimenez semasa masih bersama JDT mencadangkan pasukan memerlukan
pemain yang mempunyai fizikal lebih besar dan kuat serta berpengalaman
luas di peringkat antarabangsa supaya dapat bersaing dengan penyerang
import pihak lawan.
Menurutnya, Baihakki merupakan pemain pertahanan yang bagus, namun
untuk bersaing dengan penyerang import lawan JDT memerlukan pemain yang
berpengalaman luas, manakala Aimar masih belum pulih sepenuhnya.
"Disebabkan keadaan Aimar itu, dia tidak dapat memberikan persembahan
100 peratus di atas padang dan selepas beraksi dalam dua perlawanan,
kita terpaksa rehatkannya untuk enam perlawanan berikutnya.
"Dengan jumlah pelaburan yang tinggi, kita tidak bernasib baik pada
masa ini apabila hanya mampu menggunakan seorang pemain import
antarabangsa serta seorang import ASEAN dan amat merugikan pasukan,"
katanya.
Tunku Ismail turut mengulas tentang percaturan PBNJ yang sering
menukar ganti pemain termasuk pelantikan Bojan Hodak menyertai skuad
Harimau Selatan.
"Pihak pengurusan harus menghormati permintaan pihak jurulatih
sebagai contoh, jika jurulatih perlukan penyerang yang baharu, kita
harus berusaha mendapatkan sama ada pemain pertahanan, tengah atau
penyerang.
"Bojan pula dilantik berdasarkan rekod pencapaiannya yang pernah
memenangi empat kejuaraan serta berpengalaman luas dalam Liga Malaysia
di samping amat mengenali kekuatan pemain dan pasukan tempatan,"
katanya.
Tegasnya, Jimenez pula masih bersama PBNJ selaku Pengarah Taktikal
dan akan terus membantu Hodak selain akan terus membimbing pemain muda
dalam pasukan JDT II dan Piala Presiden.
No comments:
Post a Comment