SECARA relatifnya seseorang yang tinggi tahap keimanannya dia senantiasa merasakan dirinya berdosa dengan ALLAH.
Dia akan menginsafi akan kelemahan dirinya, maka dia terus beristighfar kepada ALLAH sebanyak mungkin agar ALLAH memaafi dosa-dosanya baik kecil atau besar, sedar atau tidak. Itulah tahap seorang bertaraf waliyullah.
Tok Guru menundukkan muka sambil menahan sebak semasa memberi tazkirah ringkas selepas Subuh Sabtu lalu.
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menangis sambil meminta rakyat Kelantan memaafkan segala kesalahannya semasa menjadi MB Kelantan selama 22 tahun.
Tangisan Tok Guru seperti juga kata-katanya mempunyai mantik paling dalam hanya jauhari memahami manikam maksud dan natijahnya.
Sekiranya kita semua gagal menghentikan sendu dan aliran air mata Tok Guru, khasnya penggantinya dan barisan pemimpin dalam kerajaan dan parti kini, maka semua orang berdosa apa lagi sekiranya tangisan Tok Guru itu disebabkan kelemahan kepimpinan kerajaan dan partinya.
Maka pemegang amanat hari ini adalah penanggungjawabnya kepada setiap titis air mata Tok Guru yang gugur ke lantai masjid.
Fahamilah tangisan Tok Guru dan jangan ianya dianggap sebagai air mata seorang insan yang sudah berada di hujung senja yang merindui kematian.
Hati Tok Guru tidak tersentuh sekiranya tiada apa-apa yang menyentuh hatinya.
Hentilah tangisan Tok Guru dengan semua pihak bermuhasabah diri masing-masing. Keriangan kepada Tok Guru ialah dengan berpadunya pimpinan Pas dan kerajaan di Kelantan akan utuh selama-lamanya.
Sumber ; Sinar Harian
No comments:
Post a Comment