14 Apr 2014

JOHOR wujudkan Hab Antarabangsa Generasi Muda

Kerajaan Negeri Johor akan mewujudkan Hab Antarabangsa Generasi Muda Johor bagi membolehkan generasi muda membabitkan diri dalam pembentukan serta kemajuan masa depan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hab bernilai kira-kira RM20 juta itu akan dibangunkan di kawasan seluas lebih 14 hektar di Tampoi, di sini.

"Projek Hab Generasi Muda yang masih dalam perancangan lagi akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) bersama-sama kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan serta beberapa pihak lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan premis perkhidmatan dan barangan kreatif JOHO di Jalan Inderaputra di sini hari ini.

Kepada soalan pemberita, beliau berkata hab itu mempunyai persamaan dengan Youth Park di Singapura yang mempunyai pelbagai tarikan kepada golongan muda.

Ketua Eksekutif Irda Datuk Ismail Ibrahim berkata hab pertama seumpamanya di negara ini dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Antara pengisian di hab yang akan mengekalkan keadaan semulajadi di kawasan itu adalah berdasarkan konsep kreatif, niaga, kesukanan, kajian dan pembangunan serta kepimpinan, katanya.

"Sebagai contohnya, di bawah konsep kesukanan, kita akan mempunyai sukan lasak.

"Usaha Iskandar Malaysia itu adalah untuk membangunkan golongan muda keranadalam tempoh 15 tahun lagi apabila Iskandar Malaysia mencapai kematangan, golongan itu akan mengambil alih kepimpinan pembangunan di Iskandar Malaysia,"
kata Ismail.

Golongan muda yang ingin menyertai hab itu boleh mendaftar secara dalam talian di https://www.facebook.com/johoryouthhub.

No comments:

Post a Comment