1 Apr 2014

Walau BN Kalah Di Kelantan, Janji Tetap Ditepati

Pelaksanaan projek lebuh raya Kota Bharu- Kuala Krai hari ini adalah bukti benarnya slogan “janji ditepati" oleh Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembinaan lebuh raya itu, katanya adalah antara tujuh janji diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk rakyat Kelantan dalam lawatannya ke negeri itu pada 20 Jan tahun lepas.

"Ini bukti jelas apa yang disebut oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke Kelantan sebelum pilihan raya (umum ke-13) dulu kita laksanakan, walaupun ia dibuat secara berperingkat-peringkat, pastinya kita tidak akan buat setakat itu sahaja, kita akan buat hingga selesai lebuh raya ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok di sini, hari ini.

Projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73.5 km dengan anggaran kos RM1.8 bilion. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini, sepanjang tujuh kilometer melibatkan kos RM168.5 juta, merupakan fasa pertama daripada tiga fasa pembinaan.

Pembinaan pakej 1B dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun iaitu pada April 2017.-BERNAMA

Sejarah

Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai mula dirancang seawal Rancangan Malaysia Kelima pada penghujung 1980s.[3] Lebuh raya tersebut dirancang untuk dibina sebagai alternatif kepada Laluan Persekutuan 8 yang sesak teruk di jajaran Kota Bharu-Kuala Krai, yang menjadi lebih parah setiap kali musim perayaan. Namun demikian, projek lebuh raya itu digugurkan, berikutan kekalahan kerajaan Barisan Nasional negeri Kelantan kepada gabungan PAS-Semangat 46 semasa Pilihan Raya Umum 1990. Projek tersebut kemudian dihidupkan semula oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai salah satu projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan,[3] tetapi kemudiannya digugurkan terus setelah Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri keenam.[4] Akibatnya, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS mengambil keputusan untuk membina sendiri lebuh raya itu.[3] Majlis pecah tanah pembinaan lebuh raya tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Mei 2012.[1][2]

Pembinaan lebuh raya tersebut oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sering dikecam hebat oleh kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional, dengan mendakwa bahawa projek lebuh raya berkenaan hanyalah sekadar gimik politik oleh kerajaan negeri.[5] Tambahan pula, kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional turut mengkritik penggunaan kaedah wakaf bagi mendapatkan dana pembinaan lebuh raya. Sementara itu pula, kerajaan negeri pula mengkritik kerajaan persekutuan kerana tidak memberi kerjasama serta sering berdolak-dalih mengenai pembinaan lebuh raya tersebut, sekaligus mempertikaikan integriti kerajaan persekutuan.[4]

Pada 20 Januari 2012 semasa program Jelajah Janji Ditepati tajaan BN di Kota Bharu, Datuk Seri Najib Razak menyertakan projek lebuh raya tersebut sebagai salah satu daripada tujuh projek mega persekutuan yang dijanjikan kepada Kelantan sekiranya BN menawan kembali Kelantan daripada PAS semasa pilihan raya umum ke-13.[6] Walau bagaimanapun, janji tersebut dikecam hebat oleh kerajaan negeri sedia ada pimpinan PAS kerana janji tersebut merupakan manifesto bersyarat, di samping dakwaan menciplak rancangan kerajaan negeri sendiri. Datuk Husam Musa, pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kabajikan Kelantan, berkata bahawa kerajaan persekutuan sepatutnya sudah lama melaksanakan projek lebuh raya tersebut dan bukannya sekadar menabur janji, memandangkan projek tersebut sebenarnya sudah pun diluluskan semasa Rancangan Malaysia Kelima dan sekali lagi semasa Rancangan Malaysia Kesembilan.[7]

Sumber ; Utusan Malaysia
                  Wikipedia

No comments:

Post a Comment