9 Apr 2014

Johor Tidak Bergantung Sumber Air Terawat Dari Singapura

Kerajaan Johor tidak bergantung kepada air terawat dari Singapura bagi memenuhi keperluan rakyat negeri ini dengan adanya 44 loji rawatan air di seluruh negeri.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kesemua loji berkenaan mampu menghasilkan 436 juta gelen air terawat sehari melebihi jumlah diperlukan rakyat negeri ini.
  
"Pada tahun ini rakyat Johor menggunakan 330 juta gelen air sehari dan ini jelas menunjukkan lebihan air terawat sebanyak 24.3 peratus," katanya pada mesyuarat ketiga penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.
  
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PKR-Bukit Batu) mengenai jumlah harian air terawat yang diproses sendiri oleh kerajaan dan jumlah air terawat yang masih dibeli kerajaan daripada Singapura setelah pengambilan dua loji rawatan air dan dua rumah pam pada tahun 2011.
 

Hasni berkata berdasarkan Perjanjian Penswastaan pada 19 Julai 2009, Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJH) mengendalikan 29 loji termasuk dua loji yang diserahkan oleh Public Utilities Board (PUB) Singapura kepada kerajaan Johor pada 1 September 2011.
                    
 

"Berdasarkan Perjanjian Konsesi antara SAJH dan Southern Water Corporations Sdn Bhd (SWC) pada 31 Mei 1994 pula, SAJH memberi kebenaran pada SWC mengendalikan sebanyak 14 loji manakala berdasarkan Perjanjian Air pada 1 September 1962 antara kerajaan Johor dan PUB, PUB diberi kebenaran mengendali sebuah loji rawatan air," katanya.
  
Menjawab soalan tambahan Tan Chen Choon (DAP-Jementah), Hasni berkata kerajaan negeri sudah menghantar cadangan kepada kerajaan pusat bagi mengkaji semula kadar harga jualan tiga sen bagi 1,000 gelen air kepada Singapura.

No comments:

Post a Comment