Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH192 yang
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang
ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke KLIA awal pagi ini
kerana satu daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanannya
pecah semasa berlepas.
Pengurus Perhubungan Media MAS, Khairunnisak Dzun Nurin berkata,
juruterbang telah dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala
Lumpur bahawa serpihan tayar ditemui di landasan dan dengan segera
menghubungi Pusat Kawalan Operasi (OCC) MAS pada pukul 10.25 malam.
"Oleh kerana keselamatan adalah amat penting bagi Malaysia Airlines, pesawat itu telah diarahkan berpatah balik ke KLIA.
Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) digerakkan
sebaik sahaja juruterbang diarahkan berpatah balik ke KLIA oleh OCC,"
katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kesemua penumpang akan ditempatkan di hotel-hotel
berhampiran dan penerbangan MH192 dijadualkan semula berlepas dari KLIA
pada pukul 3.30 petang ini dan dijadualkan tiba di Bangalore pada pukul 5
petang hari yang sama.
Beliau berkata, kesemua 159 penumpang dan tujuh anak kapal telah keluar dari pesawat itu.
Pesawat itu diterbangkan oleh Kapten Nor Adam Azmi bersama dengan pembantu juruterbang Prakash Kumar.
PENUMPANG PUJI KETENANGAN JURUTERBANG
Para penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH192 yang terpaksa
berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di
sini, memuji sikap tenang juruterbang pesawat itu dalam situasi
kecemasan selama empat jam berlegar-legar di udara.
Pesawat MH192 yang berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam semalam
sepatutnya mendarat di Bangalore, India pukul 11.39 hari yang sama
melakukan pusingan balik ekoran masalah dikesan pada roda kanan
peralatan pendaratannya.
Menurut penumpang yang ditemui, juruterbang pesawat MH192, Kapten Nor
Adam Azmi dan pembantu juruterbang, Prakash Kumar J, sentiasa
memberikan maklumat terkini setiap 20 minit sepanjang mereka berada di
ruang angkasa Malaysia sebelum mendarat.
Malah, mereka turut memuji cara juruterbang itu mendaratkan pesawat
Boeing B737-800 itu dengan selamat walaupun terdapat kerosakan pada roda
peralatan pendaratan pesawat itu. Pesawat dengan 159 penumpang dan tujuh anak kapal itu melakukan
pendaratan kecemasan sekembalinya ke KLIA pada pukul 1.56 pagi tadi
dengan selamat.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
turut bergegas ke KLIA untuk berjumpa sendiri dengan semua penumpang dan
anak-anak kapal. Setibanya beliau di KLIA pada pukul 3.15 pagi, beliau diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
SIASAT KEMUNGKINAN BERLAKU SABOTAJ
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
meminta pihak polis menyiasat kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap
Malaysia Airlines (MAS) berikutan pelbagai kejadian yang menimpa
syarikat penerbangan itu kebelakangan ini.
No comments:
Post a Comment