21 Apr 2014

MERS-COV: BERHATI-HATI APABILA KE TIMUR TENGAH

Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesan sebanyak tujuh lagi kes Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) di sini, termasuk dua orang yang meninggal dunia akibat penyakit itu.

Akhbar, Saudi Gazette yang memetik jurucakap kementerian itu, Dr. Khalid al-Marghalani melaporkan, kementerian berkenaan menjangkakan penyelidik antarabangsa akan melawat negara ini sebelum akhir bulan ini untuk mengadakan rundingan berkenaan kes jangkitan yang semakin me­ningkat.

Kementerian Kesihatan mencatatkan sejumlah 76 kematian daripada 231 kes MERS-CoV di Arab Saudi sejak virus itu dikesan pada 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu menjelaskan bahawa mereka bekerjasama dengan pelbagai badan bagi mendapatkan maklumat tentang jangkitan virus itu dan langkah untuk mengubati MERS-CoV.

Sementara itu, kerajaan Filipina mengumumkan langkah pencegahan terhadap jangkitan penyakit berbahaya itu dipertingkatkan memandangkan jumlah rakyatnya yang ramai bekerja di Asia Barat dan berpotensi sebagai pembawa penyakit.

"Ini penting untuk ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat memahami dan mengetahui tentang jangkitan penyakit MERS-CoV," kata Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona.

Seorang jururawat warga Filipina yang dikesan positif MERS-CoV di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah pulang ke negara itu minggu lalu, menurut Jabatan Kesihatan.

Jururawat itu kemudian dikuarantin bersama ahli keluarganya yang menjemputnya di lapangan terbang Manila sebagai prosedur pencegahan, namun mereka disahkan bebas daripada virus itu.

Pihak berkuasa kesihatan meneruskan usaha mengesan 418 penumpang pesawat Etihad Airways, termasuk 45 orang asing bagi menjalankan ujian.

Sehingga kini, seramai 119 penumpang telah dihubungi.

No comments:

Post a Comment