18 Apr 2014

Pantau Kesihatan Jemaah Umrah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta agensi-agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah supaya  memantau kesihatan pelanggan mereka  bagi mengelakkan jangkitan sindrom pernafasan "Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus" (MERS-CoV). 

Beliau berkata mereka harus memastikan kesihatan jemaah umrah di bawah jagaan mereka ketika di Mekah dalam keadaan baik dan sekiranya ternampak sebarang tanda yang boleh dikaitkan dengan virus berkenaan supaya segera dirujuk ke klinik atau hospital berhampiran. 

"Mereka (pesakit) harus dirujuk dengan cepat ke hospital, jangan tunggu pulang ke Malaysia. Kerajaan Arab Saudi juga ada menyediakan hospital untuk jemaah," katanya.

Jemaah yang ingin menunaikan umrah juga tidak boleh bersikap sambil lewa serta mengambil mudah terhadap rekod perubatan hanya kerana rekod berkenaan  perlu diisi sebelum menunaikan umrah. 

Ini kerana terdapat jemaah umrah yang takut untuk menerima suntikan menyebabkan mereka menipu dengan mengatakan telah mengambil suntikan, kata Jamil Khir.

"Kalau kesihatan tidak 100 peratus memuaskan pastikan dahulu (keadaan) kesihatan dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk pergi menunaikan umrah," katanya.

Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengesahkan kematian seorang lelaki pada 13 April lepas yang baru pulang daripada mengerjakan umrah adalah akibat dijangkiti sindrom pernafasan MERS-CoV, yang juga merupakan kes pertama dilaporkan di Asean. - Bernama

No comments:

Post a Comment